Tidak ada sesiapa yang menjangka
rahmat di sebalik keputusan pimpinan PAS Pusat untuk memisahkan Lajnah
Pengguna Dan Alam Sekitar kepada dua lajnah dua tahun yang lalu.
Mungkin insiden tanah runtuh di
Hulu Langat pada Mei 2011 telah mendesak PAS untuk lebih memberikan
tumpuan yang khusus kepada isu Alam Sekitar di seluruh negara agar
insiden yang berkait-rapat dengan kemusnahan alam sekitar sehingga
menjejaskan Keselamatan dan Kesihatan rakyat dapat dicegah terlebih awal
dan bukan sebaliknya.
Inilah sikap pro-aktif PAS dalam melaksanakan 5 kewajipan utama yang
telah digariskan ISLAM iaitu pemeliharaan Agama, Nyawa, Akal, Keturunan
dan Harta Benda sehingga rahmat disebalik tuntutan ISLAM itu bukan
sahaja melingkari struktur kehidupan Umat ISLAM malah merentasi seluruh
Rakyat di Negara ini tanpa mengira batas Kaum dan Agama.
Kami akui, isu Alam Sekitar telah merapatkan jurang di antara kaum
dan agama sehingga merubah perspektif serong sesetengah komuniti bukan
Islam terhadap Islam dan PAS.
Kesannya boleh dilihat dari keputusan PRU-13 khususnya kemenangan
besar PAKATAN RAKYAT di 4 Parlimen di Pahang (Kuantan, Indera Mahkota,
Raub dan Temerloh) dengan majoriti undi yang lebih besar berbanding PRU
yang lalu.
Tidak ketinggalan juga kejayaan Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack
yang berjaya mengurangkan 12 ribu majoriti besar undi MCA di Bentong
Pahang kepada hanya 379 undi dan hanya 462 undi di Parlimen Cameron
Highlands.
Kesemua calon Pakatan Rakyat yang juga aktivis alam sekitar berjaya
memenangi kesemua kerusi DUN dan Parlimen dengan majoriti undi yang
lebih besar kali ini khususnya di Parlimen Kuantan dan di Parlimen
Indera Mahkota.
Isu Lynas di Kuantan, isu ‘Cyanide’ dari syarikat perlombongan emas
RAGM di Raub, isu pelupusan sisa buangan Lynas di Temerloh dan isu
pencemaran sungai, Empangan hidroelektrik Ulu Jelai serta penerokaan
haram hutan dan tanah runtuh di Cameron Highlands jelas telah menghukum
keegoan Kerajaan BN Pahang di negeri Perdana Menteri itu.
Tidak dinafikan tumbangnya MCA dan Gerakan banyak dipengaruhi
fenomena gerakan aktivis alam sekitar di seluruh Negara. Malah disaat
artikel ini ditulis, Tuw Yi Lan (72 Tahun) dari Kuantan sudah 20 hari
tidak menjamah makanan malah sanggup mengorbankan dirinya agar Kilang
Lynas dapat segera ditutup.
Mewakili Lajnah Perumahan, Pengguna Dan Alam Sekitar PAS Pahang, kami
ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Pahang dan
di seluruh negara kerana sanggup berjuang bersama-sama kami dalam
memastikan aspek alam sekitar di negara ini khususnya di Pahang dapat
terus dilindungi demi masa hadapan anak dan keturunan kita.
Tidak dilupai juga peranan besar Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat yang
dipimpin oleh Haji Zulkefly Mohamad Omar kerana berjaya mengangkat isu
alam sekitar khususnya dari Pahang ke peringkat nasional sehingga
berjaya mencetuskan sebahagian dari ‘Tsunami Rakyat’ itu dalam PRU-13
baru-baru ini.
Ketika memegang tangan dan mengesat air mata beliau yang sedang
terbaring di Wad Kajian Saraf Hospital Kuala Lumpur minggu yang lalu
selepas dipindahkan dari wad ICU akibat serangan tekanan darah tinggi
ketika berkempen dalam PRU-13 baru-baru ini, walaupun dalam keadaan
masih tidak kuat berdiri dan berjalan selepas pembedahan dikepala
beliau, beliau tidak henti-henti mendesak saya agar membawanya keluar
dari Wad itu agar dapat terus berkhidmat dan berjuang untuk PAS dan
Rakyat.
Banyak lagi isu yang perlu diselesaikan katanya. Saya melangkah
keluar dari wad meninggalkan beliau dengan linangan air mata kerana
terharu dengan jiwanya yang kental serta semangatnya yang tinggi
walaupun dalam keadaan seperti itu.
Harga yang amat tinggi dan telah dibayar beliau demi Islam, PAS dan rakyat.
Semoga pengorbanan mereka tidak sia-sia, ayuh kukuhkan barisan
tentera kita dan sama-sama kita tumbangkan Umno dan Barisan Nasional
dalam PRU-14 nanti.
*Penulis adalah Setiausaha Lajnah Perumahan, Pengguna Dan Alam
Sekitar PAS Pahang merangkap AJK Lajnah Alam Sekitar PAS Malaysia.

Tidak ada komentar:
Posting Komentar