Singapura Jerebu
 Indonesia menuduh Singapura berkelakuan seperti keanak-anakan apabila menyalahkan negara terbabit berhubung jerebu teruk yang kini melanda Singapura.Singapura tidak boleh berkelakuan seperti kanak-kanak dan menyalahkan kami,” kata menteri yang bertanggungjawab mengenai krisis jerebu, Agung Laksono, semalam.
Menurut laporan Al-Jazeera, Laksono mengulas tindakan Singapura yang menggesa supaya Indonesia segera memadamkan kebakaran hutan di Sumatera.Kualiti udara di Singapura dan Malaysia  terjejas teruk dan berada di peringkat bahaya di sesetengah kawasan akibat asap tebal ekoran kebakaran itu.Satu mesyuarat teknikal di antara pegawai Indonesia dan Singapura juga bakal diadakan mengenai keadaan jerebu di kedua-dua negara.
Indeks pencemaran udara di Singapura kini telah melepasi tahap bahaya iaitu 400.Keadaan jerebu di Singapura bertambah buruk dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dicatat 11 pagi ini mencecah tahap berbahaya iaitu 400, kata Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA). Bacaan IPU antara kosong dan 50 dikategori sebagai baik; 51 hingga 100, sederhana; 101 hingga 200, tidak sihat; 201 hingga 300, sangat tidak sihat; dan lebih 301, berbahaya.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada sidang akhbar semalam memberi amaran kepada rakyat Singapura bahawa keadaan itu dijangka berterusan untuk beberapa minggu."Kami tidak dapat memberitahu jangka masa masalah jerebu ini. Ia mungkin berlanjutan selama beberapa minggu, dan mungkin agak panjang sehingga musim kemarau berakhir di Sumatera.

Kita perlu menyesuaikan tindakan kita dengan perubahan keadaan dan melindungi diri kita dengan cara yang lebih praktikal," katanya.Singapura telah menubuhkan Jawatankuasa Jerebu Antara Kementerian (HIMC) untuk menyelia usaha menyeluruh di peringkat nasional.
Jerebu asap daripada pembakaran hutan di Sumatera, bagi membersihkan tanah untuk pertanian, telah dibawa tiupan angin dari barat daya atau barat dan memberi kesan kepada Singapura serta beberapa negeri di semenanjung Malaysia.
Sementara itu, wakil Singapura mengadakan mesyuarat tergempar dengan pegawai Indonesia di Jakarta semalam untuk membincangkan keadaan jerebu yang semakin teruk. Mesyuarat itu diatur Kementerian Luar Indonesia melibatkan pegawai kanan Indonesia, kata kenyataan yang dikeluarkan NEA.
Singapura menegaskan jerebu tetap merupakan masalah rentas sempadan yang bukan sahaja memberi kesan ke atas Indonesia tetapi juga negara serantau. Indonesia memberi jaminan kepada Singapura bahawa ia akan memberi lebih perhatian kepada isu itu.
Pada mesyuarat itu, Indonesia memberi taklimat mengenai rancangannya meningkatkan keupayaan menangani kebakaran dan memastikan agensi-agensinya membuat laporan dua kali sehari kepada pasukan petugas kebangsaan yang dipengerusikan Menteri Koordinasi bagi Kebajikan Rakyat, Agung Laksono.
Indonesia juga bercadang meningkatkan penguatkuasaan undang-undang di lapangan dengan menghantar penyiasat ke Bengkalis bagi mengambil tindakan ke atas syarikat-syarikat perladangan yang tidak bertanggungjawab. Berikutan ada laporan dari Kementerian Perhutanan Indonesia bahawa syarikat-syarikat Singapura mungkin terlibat dalam aktiviti pembakaran haram, Singapura meminta Indonesia berkongsi nama syarikat yang terlibat walaupun tanggungjawab untuk mengambil tindakan undang-undang dan penguatkuasaan terhadap syarikat-syarikat itu terletak di tangan Indonesia.
Ia menekankan adalah lebih baik jika Indonesia mendedahkan kesemua syarikat yang terlibat dalam tindakan itu tanpa mengira sama ada mereka berdaftar di Indonesia, Malaysia atau Singapura agar mereka boleh dikenakan tindakan.Singapura juga menawarkan pakej bantuan kepada Indonesia sama seperti sebelum ini yang antara lain ialah sebuah pesawat bagi operasi pembenihan awan dan gambar satelit dengan resolusi tinggi dan koordinat titik panas.
Singapura turut meminta Indonesia mengesahkan Perjanjian Jerebu Merentas Sempadan Asean yang ditandatangani Indonesia pada 2002. Indonesia memaklumkan Singapura bahawa mereka akan mendapatkan kelulusan Parlimen berhubung perkara itu.


Di Malaysia, Keadaan jerebu yang melanda beberapa negeri di selatan negara ini dijangka tidak menjejaskan sasaran satu juta pengunjung ke Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria Putrajaya 2013). Pengarah Jabatan Landskap dan Taman Perbadanan Putrajaya (PPj) Mohamad A. Shukor berkata ini kerana berdasarkan rekod terdahulu, kehadiran pengunjung ke acara itu sentiasa meningkat.
"Suasana di festival sendiri yang mengeluarkan oksigen dan menyegarkan akan menarik pengunjung. Namun pengunjung dinasihat membawa topeng penutup hidung untuk menjaga kesihatan," katanya pada taklimat khas kepada media mengenai persiapan terakhir festival.
Festival sembilan hari bermula 22 Jun dengan bertemakan 'Bunga Orkid - Khazanah Tropika' itu akan dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam  Shah pada 9 pagi esok.
Ditanya mengapa 'orkid' menjadi pilihan, Mohamad berkata ia kerana tumbuhan itu merupakan antara bunga yang tumbuh segar di kawasan hutan hujan tropika dan Malaysia merupakan satu daripada lokasinya.
"Orkid mempunyai lebih 7,000 spesis di Malaysia manakala ratusan orkid telah dibaik biak. Oleh itu kami mahu mengetengahkannya," katanya.
Kira-kira 400,000 pokok  bunga dan tumbuh-tumbuhan pelbagai spesies termasuk 5,000 pokok bunga Orkid dengan lebih 200 spesies seperti kultivar dan hibrid orkid dalam bentuk taman dan gubahan akan menghiasi Persiaran Tasik, Presint 2, Putrajaya.
Lebih 200 aktiviti akan diadakan termasuk ceramah dan bengkel perkebunan, demonstrasi gubahan bunga, pertandingan fotografi, lukisan cat air dan  penghasilan kraf tangan. Sebanyak 50 ruang niaga akan disediakan untuk pengusaha dalam industri berkaitan memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka.     
Seramai 23 peserta dari Afrika Selatan, Australia, Chile, China, Filipina, Hong Kong, Itali, Jepun, Jerman, Kanada, Korea, Myanmar, New Zealand, Singapura, Taiwan,  Thailand, United Kingdom, Vietnam dan Malaysia akan mengambil bahagian. 

Selain pameran pelbagai jenis bunga, turut diadakan ialah acara 'Magicof the Night' bertemakan 'Colours of Hormony' yang akan menyaksikan 14 bot berhias termasuk sebuah dari China menyertai perarakan sepanjang tiga kilometer di Pesisiran Tasik bermula 8.30 malam hingga 11.30 malam